Kamrol Isam Mohd.
Presidennya, Kamrol Isam Mohd. berkata, penubuhan akademi itu selaras inisiatif untuk melahirkan pemain pelapis yang berkualiti sebagai pemain profesional bagi di-serapkan ke pasukan negeri mahupun negara sekali gus merancakkan lagi industri sukan tanah air.

Katanya, buat masa ini seramai 71 pelatih berusia antara tujuh hingga 15 tahun dari seluruh negeri menyertai akademi tersebut dengan Padang Kampung Panji, Wakaf Mempelam di sini dijadikan pusat latihan.
“Akademi ini mula beroperasi sejak 2 Februari lalu di bawah bimbingan enam jurulatih termasuklah Bazli Mohd. Noor dari Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) serta bekas pemain negeri sekitar tahun 1990-an, Ramli Muda.

“Sebagai akademi rasmi bagi Terengganu FA, modul latihan yang digunakan juga diambil daripada pasukan itu justeru, saya mengharapkan usaha ini memberi impak besar buat pelatih dan seterusnya dapat mengangkat martabat sukan bola sepak negeri dan tanah air,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian yang disempurnakan Pengarah MSNT, Ibnu Amin Busu di padang bola sepak kampung Kampung Panji.

Yang hadir sama Penaung akademi, Mohd. Faeez Asry Yusoff yang juga selaku Penasihat; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Deraman dan pemain pasukan Terengganu FC2 serta Hanelang FC.

Menurut Kamrol Isam, memandangkan rata-rata pelatih sudah memahami teknik asas dan boleh menguasai kemahiran sukan bola sepak maka, fokus pihak akademi sepanjang tahun ini adalah menggerakkan perlawanan persahabatan dengan akademi luar sebagai pendedahan buat mereka dari segi mental serta fizikal.

Katanya, inisiatif pertama akan dimulakan dengan akademi di Kelantan pada bulan depan diikuti Selangor pada Ogos di samping menganjurkan karnival bola sepak di Lagun Kuala Ibai pada bulan Mei bagi mengumpul bakat baharu di setiap daerah.

“Sasaran kita untuk menggilap sehingga 150 pelatih tahun ini dan menerusi penganjuran karnival itu saya yakin dapat mencari mereka yang berpotensi sekali gus dapat merealisasikan hasrat mewujudkan Liga 1Malaysia Cardiff City yang pertama di Terengganu,” katanya. Utusan Online