Pemain T-Team meraikan jaringan Norhakim dalam perlawanan menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. - Gamba...
- Pemain T-Team meraikan jaringan Norhakim dalam perlawanan menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. - Gambar T-Team
Hasrat pasukan T-Team untuk memungut 3 mata penuh dalam perlawanan pertama Liga Super tahun ini tidak kesampaian selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.
Pasukan bimbingan Rahmad Darmawan yang turun tanpa tonggak baru Mohamadou Samassa bermula garang pada babak pertama dengan beberapa serangan yang diketuai oleh Farhod Tadjiev ke kubu pasukan Ngap Sayot.
Barisan tengah yang dikemudi kapten Hasbullah Awang kerap mengucar kacirkan pertahanan pelawat namun buntu menemui gol dan keputusan kekal tanpa jaringan hingga tamat separuh masa.
Pemain sayap Norhakim Hassan berjaya memecah kebuntuan selepas menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke 49.
Sarawak yang terkejut dengan jaringan tersebut bingkas melancar serangan balas ke pintu gol Titans yang dikawal Mohd Izzuddin Hussin atau lebih dikenalisebagai Joe dan satu percubaan mereka terkena tiang pada minit ke 79.
Usaha pelawat untuk memburu gol penyamaan berakhir menerusi penyerang import mereka Mateo Roskam hasil serangan pantas pada minit ke 81 dan menghampakan harapan T-Team untuk memperoleh mata penuh.
Sementara itu bagi Rahmad, beliau tidak menyalahkan anak buahnya yang gagal mendapat 3 mata penuh kerana faktor padang yang becak selepas hujan mengakibatkan T-Team gagal bermain corak hantaran pendek namun berpuas hati secara keseluruhan permainan.
Selepas ini Titans akan berkunjung ke Kuantan untuk bertemu Pahang di gelanggang lawan pada 27 Januari depan. – Terengganu Times







COMMENTS